KUALA LUMPUR, 11 Feb: PAS yakin kuasa rakyat Mesir yang berada di kemuncak pada waktu ini, mampu mengubah lanskap politik negara teluk itu dalam masa terdekat.
Biarpun Presiden Mesir, Hosni Mubarak dalam ucapannya yang disiar televisyen negara itu semalam sekali lagi memberikan harapan palsu kepada rakyatnya, namun bantahan berterusan dari rakyat sekurang-kurangnya telah menekan Mubarak dan menggugat pengaruh Amerika Syarikat.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, bantahan rakyat sejak 28 Januari lalu bagai mimpi ngeri yang menjadi kenyataan kepada Amerika Syarikat sehingga mereka hilang arah.
Katanya, ianya boleh dibuktikan dengan beberapa kenyataan dari pemimpin negara barat itu yang dilihat 'flip-flop', ada ketikanya menggesa Mubarak kekal dan ada pula mahu presiden Mesir itu berundur segera.
"Saya yakin dengan kuasa rakyat Mesir dan Amerika sekarang sangat terkejut dengan fenomena kebangkitan besar-besaran rakyat Mesir ini.
"Mereka pun tidak dapat menentukan apa lagi yang akan berlaku.
"Saya percaya, Amerika tidak ada kekuatan lagi untuk mempertahan regim Mubarak yang ada ini," katanya.
Amerika Syarikat mempunyai tiga kepentingan utama di Mesir iaitu negara Israel, ekonomi (Peroleum dan Gas) dan ketenteraan.
Mereka bimbang, kejatuhan kerajaan regim dan jika diganti pihak lain, akan menjejaskan segala kepentingan yang telah dibina sejak berpuluh tahun dahulu.
Mubarak muncul melalui siaran televisyen seluruh negara dan berucap kepada rakyat yang membantahnya.
Rakyat yang sebelum ini diberitahu akan ada berita gembira tentang pengumuman pengunduran Mubarak, bagaimanapun kecewa apabila presiden yang dibantah itu memaklumkan akan terus berada di pejabat presiden sehingga pemilihan September depan.
Beliau juga memberitahu telah mengalihkan sebahagian kuasanya kepada Naib Presiden yang baru dilantik, Omar Suleiman dan mengarahkan perlembagaan negara itu dipinda.
Berita itu bagaimanapun ditolak rakyat yang mahu bukan sahaja Mubarak, tetapi seluruh kerajaan regim berundur segera tanpa syarat.
"Media cuba gambarkan rakyat hanya tolak Mubarak.
"Rakyat Mesir sebenarnya bukan hanya tolak Mubarak, tetapi seluruh aparatus kerajaan regim itu," kata Syed Azman lagi.
Mengulas himpunan besar-besaran rakyat Mesir selepas Jumaat hari ini beliau berkata, rakyat Mesir sebenarnya sudah nekad, tidak akan berundur ke belakang lagi, sama ada menang dalam tuntutan ini ataupun mati syahid.
Dijangkakan 20 juta rakyat Mesir akan berhimpun selepas solat Jumaat hari ini dan akan berarak ke Istana Mubarak di Abdeen, Kaherah.
Difahamkan, Istana Presiden tersebut adalah kawasan larangan dan tidak pernah ada mana-mana pihak dibenar masuk ke istana itu sejak sekian lama pemerintahan regim.
Category:
Antarabangsa
,
Arab
,
Dunia
,
Featured
,
Mesir
,
Politik