Umno punca kuasa sultan terhad

By Muhammad Ashraf Misran on 13 September 2011 with

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 12 Sept: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib(gambar) menyifatkan Umno adalah pewaris kepada sistem yang ditinggalkan oleh penjajah.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas situasi terkini di tanah air berkenaan dakwaan bahawa hanya Umno adalah pejuang kemerdekaan.
“Ianya seolah-olah menafikan peranan golongan lain yang turut berjuang untuk mencapai kemerdekaan di negara ini.
“Apa yang kita lihat melalui sejarah ialah kemerdekaan diberikan kepada orang Melayu oleh orang putih kepada golongan yang paling mereka (British) percayai pada waktu iaitu Umno,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, British sudah tentu akan memastikan bahawa bukan sahaja kepentingan politik mereka akan terjaga bahkan ekonomi British juga turut dijaga.
Katanya, Umno dilihat sebagai pihak yang paling sesuai setelah kemerdekaan untuk menjaga kepentingan itu kerana British tidak percaya kecuali kepada hanya Umno sahaja untuk menjaga kepentingan mereka.
“Saya ingin ingatkan kepada seluruh orang Melayu di Malaysia bahawa sistem perlembagaan yang meletakkan pihak sultan hanya mempunyai kuasa yang terhad adalah berpunca kerana Umno.
“Umno ketika ingin memperolehi merdeka daripada British bersetuju untuk mengikut sistem yang diamalkan di British di mana raja hanya memegang jawatan terhormat dan hanya mempunyai kuasa yang terbatas dalam pentadbiran,” ujar beliau lagi.

Category: Featured , Kesultanan , Sejarah , UMNO